Saturday, September 13, 2008

Pak Lah, ISA, Islam Hadari & UMNO

Baru-baru ni kita menyambut ‘Hari Kemerdekaan’ pada 31 Ogos 2008 dengan tertib, meriah dan bersemangat, namun ada banyak pihak yang tidak bersetuju dengan sambutan tersebut yang dipanggil sebagai ‘Hari Kemerdekaan’, mereka berpendapat ia sepatutnya di panggil ‘Hari Kebangsaan’ agar rakyat Sabah dan Sarawak boleh bersama menyambutnya.

Bekas PM pertama kita iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu Bapa Kemerdekaan Malaysia telah memutuskan bahawa Hari Ulangtahun Kemerdekaan pada setiap 31 Ogos disambut sebagai ‘Hari Kebangsaan’ agar semua pihak dapat menyambutnya. Rakyat Sabah dan Sarawak sememangnya tidak terlibat dengan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana mereka masuk menyertai Malaysia pada 16 September 1963.

Saya berpendapat bahawa kerajaan Pak Lah tidak sensitif dengan isu ini dan tidak menhormati keputusan Tunku tersebut tanpa alasan yang munasabah.

ISA adalah suatu undang-undang yang dibuat oleh British untuk melawan komunis atau pengaruh komunis atau sesiapa sahaja yang menentang British. ISA dibuat dan digunapakai oleh British bermula pada tahun 1948 dan selepas Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957, kerajaan persekutuan seterusnya menjadikan ISA sebagai undang-undang rasmi pada 1960.

Secara kasarnya ISA memberi kuasa penuh kepada polis untuk menahan mana-mana orang yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara selama 60 hari tanpa bicara. Seterusnya Menteri Dalam Negeri (Home Minister) diberi kuasa untuk menahan mana-mana orang yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara selama 2 tahun tanpa bicara dan ianya boleh dilanjutkan jika perlu. Kuasa tersebut tidak boleh dikajisemula (judicial review) di Mahkamah.

Ada yang berpendapat bahawa ISA adalah perlu untuk menghalang komunis serta pengaruhnya atau menghalang mana-mana orang yang boleh mengancam keselamatan negara pada sekitaran tahun 50an hingga akhir 70an. Pasukan keselamatan iaitu polis dan askar pada masa dulu tidak secanggih sekarang dan mereka masih mengharapkan bantuan dan kepakaran daripada British. Oleh itu ISA diperlukan apabila mereka menemui jalan buntu dalam melawan ancaman negara.

Tetapi sejak komunis dan pengaruh komunis sudah tiada lagi, ramai berpendapat ISA tidak perlu dikekalkan serta digunakan. Pasukan polis dan askar pada masa ini adalah canggih sekali dan mereka mempunyai kepakaran dan sokongan untuk melakukan apa-apa siasatan yang perlu.

Pada masa dulu, mungkin dalam keadaan darurat, perang atau rusuhan kaum, ISA boleh digunapakai oleh kerajaan untuk mengawal keadaan dan keselamatan negara. Tetapi sekarang kita mempunyai undang-undang yang cukup dan sistem kehakiman yang teratur untuk menghadapapi apa-apa ancaman kepada negara. Tahanan tanpa bicara adalah jelas tidak menghormati kebijaksanaan dan keadilan Mahkamah atau Badan Kehakiman Negara ini.

Saya berpendapat bahawa ISA adalah undang-undang lapuk dan zalim, ia memberi kuasa penuh kepada Polis & Menteri untuk bertindak sebagai penahan, pendakwa dan hakim dalam masa yang sama. TAHANAN TANPA BICARA adalah sautu terma yang amat dahsyat dan ianya perlu dihapuskan dengan segera. Kerajaan mempunyai undang-undang yang cukup untuk menghadapi apa-apa ancaman keselamatan daripada dalam dan luar negara. Jika mengikut laporan media masa sekarang, ancaman pengganas dan pelampau agama adalah ancaman besar kepada mana-mana negera. Malaysia boleh menghadapinya.

Pak Lah mesti mengkajisemula dan mengubah ISA dengan serta merta jika beliau enggan menghapuskan ISA. Adalah menjadi persepsi masyarakat bahawa polis dan kerajaan hanya menggunakan ISA sebagai jalan singkat untuk menahan mana-mana musuh politik mereka walaupun tiada bukti kuat untuk menyokong penahanan tersebut. Ini adalah suatu salah gunakuasa yang dahsyat dan nyata. Islam Hadari dan ISA tidak mungkin bersatu di alam ini.

Saya berpendapat bahawa jika Pak Lah benar-benar serius dan jujur dengan konsep Islam Hadari yang diwar-warnya, maka beliau perlu mengubah atau menghapuskan ISA dengan segera tanpa syarat.

UMNO sekarang dilihat sebagai parti melayu yang sombong dan hanya sebagai pentas untuk menghalalkan cara mendapat kuasa dan wang negara. UMNO dahulu atau UMNO semangat 46 adalah berjuang untuk kepentingan orang melayu dan raja-raja melayu. Orang UMNO dahulu derma duit untuk parti, orang UMNO sekarang cari duit melalui parti. UMNO dah jadi suatu busines entiti melayu elit. Melayu miskin masih terbiar dan hanyut dibawa arus kos kehidupan yang melambung tinggi. Pimpinan UMNO hanya pentingkan projek daripada poket rakyat miskin.

Sebab itu UMNO takut kehilangan kuasa pusat kerana tanpa kuasa pusat, UMNO sekarang akan hancur dan hilang. Kuasa pusat adalah tabung UMNO sekarang. UMNO tahu tanpa kuasa dan wang, maka tiada sebab orang melayu nak menyokong mereka lagi kerana UMNO tidak mampu membeli sokongan orang melayu dengan wang dan kuasa.

Adalah suatu mitos dan fahaman sesat bahawa hanya UMNO sahaja yang boleh memerintah Malaysia, fahaman ini telah ditanam dan dipusing oleh UMNO melalui media perdana dan sistem pendidikan yang dikawalnya selama ini. Ajaran sesat ini telah berpuluh tahun ditanam di benak orang melayu.

Tetapi apabila kebenaran tiba, segala kebatilan akan hancur dan hilang. Majoriti orang Melayu sudah sedar dan faham, mereka lebih kritikal dan tidak takut kepada UMNO lagi. Sebab itu orang melayu mahu Pak Lah menyakinkan mereka bahawa Pak Lah boleh membawa kebaikan dan kemajuan kepada orang melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Sayangnya Pak Lah gagal menyakinkan orang melayu pada pilihanraya yang lalu.

Saya berpendapat untuk menyelamatkan UMNO, Pak Lah kena hapuskan rasuah di setiap peringkat, hapuskan kronisme dan nepotisme, pembaziran wang rakyat dan menkaji balik polisi kerajaan yang hanya menguntungkan segelintir syarikat kroni. UMNO kena pro orang miskin, pro orang cacat, pro orang asli, pro syarikat kecil, pro rakyat bawahan dan paling penting pro islam. Jangan takut dengan kritikan, rakyat ada dibelakang. Keadilan mesti menjadi teras UMNO. Hentikan politik fitnah, politik tomahan dan politik wang.

Saya percaya jika Pak Lah mengambil tindakan-tindakan diatas, maka sesiapa sahaja tidak dapat menghalang atau menjatuhkan kerajaannya termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun malangnya Pak Lah masih lagi tidur lena dan hanyut dibuai kuasa.......

Wallahuaqlam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home